Banner Scroll

Kami membekal Disinfectant Solution yang Halal, Non Alcohol, Mesra Alam Sekitar

Hukum Guna Pembasmi Kuman Ada Kandungan Alkohol

Hukum Guna Pembasmi Kuman Ada Kandungan Alkohol

hukum guna pembasmi kuman disinfektan ada alkohol
hukum guna pembasmi kuman disinfektan ada alkohol


Hukum Disinfektan Ada Alkohol

Apakah hukum menggunakan pembasmi kuman atau hand sanitizer atau disinfektan atau antiseptik yang mengandungi alkohol?
 
Penggunaan cecair pembasmi kuman beralkohol boleh dibawa solat kerana hukumnya adalah harus dan dimaafkan, demikian menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Dato Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut menjelaskan hukum menggunakan alkohol adalah tertakluk kepada keadaan tertentu. Para ulama' sepakat mengatakan alkohol merupakan najis kerana menjadi bahan utama dalam pembuatan arak, namun Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Malaysia telah memutuskan alkohol yang bukan bertujuan untuk dibuat arak boleh digunakan misalnya dalam pembuatan ubat ubatan serta minyak wangi. 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan memutuskan bahawa alkohol yang tidak melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum, berbanding alkohol daripada proses pembuatan arak yang hukumnya adalah haram dan najis.

Ini jelas seperti yang diputuskan Muzakarah bahawa ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan.

Pejabat mufti itu juga menyatakan bahawa pelaksanaan menjaga kebersihan merupakan faktor utama bagi mengurangkan risiko jangkitan virus susulan penularan COVID-19 kebelakangan ini.

Ia selari dengan nasihat Kementerian Kesihatan kepada masyarakat untuk menjaga kebersihan diri seperti sentiasa mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi contohnya kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, atau menggunakan cecair pembasmi kuman.

Keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan

Berdasarkan taklimat, pembentangan dan penjelasan yang disampaikan oleh pakar-pakar daripada Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia serta dengan mengambilkira keputusan-keputusan yang telah diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia terdahulu, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan isu alkohol dalam makanan, minuman, pewangi dan ubat-ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011 telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

1. Setiap minuman arak adalah mengandungi alkohol. Walaubagaimanapun bukan semua alkohol itu adalah arak. Alkohol yang diperolehi dari proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis.

2. Manakala alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.

3. Minuman ringan yang diproses/dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah aras 1%v/v adalah harus (boleh) diminum.

4. Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.

5. Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semulajadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya, atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh ) dimakan/diminum.

6. Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5%.

7. Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak.  

Penggunaan sanitizer adalah bertujuan untuk membunuh bakteria yang terdapat pada permukaan kulit. Ia juga merupakan bahan yang efektif dalam membunuh kuman dan bakteria berbanding mencuci tangan menggunakan air dan sabun.

Menurut garis panduan daripada Food and Drug Administration (FDA) setiap kandungan produk hand sanitizer yang dipasarkan mestilah mengandungi ethyl alcohol (ethanol), isopropyl alcohol (isopropanol) atau benzalkonium klorida sebagai bahan utama.

Selain itu, terdapat juga hand sanitizer yang menggunakan bahan selain daripada alcohol untuk membunuh mikroorganisma dan bakteria seperti povidone-iodine atau triclosan.


Garis Panduan WHO untuk Hand Sanitizer

Sukatan yang digunakan mengikut jenis bahan yang diletakkan di dalam hand sanitize (Pencuci Tangan). Mengikut World Health Organization (WHO) menetapkan garis panduan dengan menyatakan bahan kimia yang digunakan di dalam 10liter hand sanitizer mestilah mengandungi 8333ml daripada 96% ethanol, 417 daripada 3% hydrogen peroxide dan145 daripada 98% glycerol atau 7515ml daripada 99.8% isopropyl alcohol, 417ml daripada 3% hydrogen peroxide dan 145% daripada 98% glycerol.

Hukum Penggunaan Alkohol

Menuru jumhur ulama alkohol merupakan najis kerana ia termasuk di dalam cecair yang memabukkan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/183-184). Ini seperti hadis yang diriwayat oleh Ibnu Umar RA, sabda Nabi SAW:

كُلَّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ وَأَنَّ كُلَّ خَمْرٍ حَرَامٌ

Maksudnya: “Setiap yang memabukkan adalah arak dan setiap arak adalah haram.”

Riwayat Muslim (2003)

Selain itu, Prof. Dr Basri bin Ibrahim al-Hasani al-Azhari menyebut di dalam kitabnya menyatakan para ulama berselisih pandangan tentang sama ada arak najis atau tidak. Pada dasarnya, ulama bersepakat tentang arak adalah najis, tetapi mereka berselisih tentang sifat kenajisannya. Segolongan ulama berpendapat arak merupakan najis dari segi ainnya. Manakala menurut pendapat yang lain arak tidak najis dari segi ainnya. Sebaliknya najis dari segi maknawi iaitu tidak boleh diminum kerana ia merupakan sesuatu yang kotor sperti dadah dan seumpanya. (Lihat Isu-isu Fiqh Halal & Haram Semasa, hlm. 598)

Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam Tahun 2005 (ms. 74) juga menyatakan: “Alkohol sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia adalah haram meminumnya kerana sifatnya yang memudharatkan seperti mana racun. Adapun barangan kosmetik yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia adalah harus menggunakannya, kerana ia bukan najis. Dengan ini juga, sah sembahyang seseorang yang memakai baju yang telah disembut dengan minyak wangi yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia kerana ia bukan najis.”

Selain itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-7 yang bersidang pada 11-12 April 1984 telah membincangkan Alkohol Menurut Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

    Setiap minuman arak mengandungi alkohol. Bukan semua alcohol itu mengandungi arak. Alkohol dari proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis, tetapi alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum.
    Minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan membuat arak sama ada mengandungi sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.
    Minuman ringan yang dibuat bukan dijadikan arak atau bahan yang mabuk dan tidak sama caranya dengan proses arak adalah halal.
    Tapai halal dimakan.
    Alkohol yang terjadi sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak najis dan boleh dimakan.
    Ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan.

Begitu juga boleh rujuk artikel di laman web PMWP yang bertajuk IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-185: MENGGUNAKAN ALCOHOL SWAB DAN MINYAK WANGI BERALKOHOL untuk maklumat lebih lanjut.

Kesimpulan


Kemunculan penularan virus Covid-19 telah melanda negara kita, oleh itu perlaksanaan menjaga kebersihan merupakan faktor utama bagi mengurangkan risiko dalam jangkitan virus ini. Justeru, timbul persoalan berkenaan dengan penggunaan hand sanitizer (Pencuci Tangan) semasa melakukan solat adakah ia dikira sebagai najis kerana kandungan alkohol di dalamnya

Berbalik kepada persoalan yang diajukan dan pendapat ulama yang diberikan, dapat disimpulkan bahawa hand sanitizer (pencuci tangan) adalah tidak najis dan boleh digunakannya ketika hendak melakukan sembahyang serta tidak dikira menanggung najis. Ini jelas seperti yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa fatwa Majlis Kebangsaan iaitu Ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agamaNya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’atNya dengan sebaiknya.






Sumber = 






Jangan lupa LIKE Page FB Kami >> https://www.facebook.com/pg/HalalDisinfectantMalaysia


Berminat? Sila dapat Free Quotation







Copyright © Halal Disinfectant Malaysia Made with ❤ by azhafizah.com